Tekanan leksikal Tekanan_(linguistik)

Tekanan leksikal atau tekanan kata adalah tekanan yang terletak pada suku kata yang diberikan dalam sepatah perkataan. Kedudukan tekanan leksikal dalam suatu perkataan mungkin bergantung kepada peraturan nahu umum yang tertentu dalam bahasa atau dialek yang digunakan, sedangkan dalam bahasa lain, tekanan tidak dapat diduga dan mesti dihafaz kata demi kata. Ada kalanya, tekanan berbeza-beza mengikut golongan kata; sebagai contoh, kata-kata pinjaman ke dalam suatu bahasa yang mempunyai tekanan tetap boleh mengekalkan penempatan tekanan dari bahasa sumber.

Tekanan tetap

Sesebuah bahasa disifatkan mempunyai tekanan tetap jika kedudukan tekanan biasanya boleh diduga oleh peraturan yang mudah. Contohnya, dalam bahasa-bahasa Czech, Finland, Iceland dan Hungary, tekanan sering jatuh pada suku kata pertama perkataan. Dalam bahasa Armenia, tekanan jatuh pada suku kata terakhir perkataan.[4] Dalam bahasa-bahasa Quechua, Esperanto, dan Poland, tekanan seringkali jatuh pada suku kata kedua terakhir. Dalam bahasa Makedonia, tekanan jatuh pada suku kata ketiga terakhir.

Tekanan berasaskan peraturan

Ada bahasa lain yang meletakkan tekanan pada suku kata yang berbeza-beza tetapi boleh diduga, misalnya dalam bahasa Arab dan Latin Klasik, yang mana tekanan ditentukan oleh struktur suku kata tertentu. Bahasa-bahasa ini dikatakan mempunyai peraturan tekanan nalar.

Pernyataan mengenai kedudukan tekanan kadang-kadang dipengaruhi oleh hakikat bahawa apabila perkataan dibicarakan secara berasingan, timbul faktor-faktor prosodi (lihat di bawah) yang tidak terjadi apabila perkataan tersebut dituturkan secara normal dalam suatu ayat. Ada yang mengatakan bahawa perkataan Perancis diberi tekanan pada suku kata akhir, tetapi itu boleh dikaitkan dengan tekanan prosodi yang jatuh pada suku kata yang terakhir sepanjang ungkapan (melainkan ia adalah schwa, maka tekanan beralih kepada suku kata kedua terakhir). Oleh itu, tekanan jatuh pada suku kata terakhir perkataan yang dikupas secara berasingan..Begitu juga keadaannya bagi bahasa Cina baku. Bahasa Perancis (dan Mandarin[5]) boleh dianggap tidak mempunyai tekanan leksikal sebenarnya.

Tekanan berubah-ubah

Bahasa-bahasa di mana kedudukan tekanan dalam perkataan sukar diduga dikatakan mempunyai tekanan berubah-ubah, misalnya bahasa Inggeris, Rusia, Itali, Portugis dan Sepanyol. Tekanan ini lazminya benar-benar mempengaruhi erti kata dan mesti dihafaz sepatah demi sepatah kata. Dalam sesetengah bahasa, seperti dalam bahasa Sepanyol dan Portugis, tekanan ditandakan dalam tulisan dengan tanda diakritik; contohnya dalam bahasa Sepanyol: célebre (terkenal) dan celebré (aku telah meraikan). Dalam bahasa Rusia, tekanan boleh beranjakan walaupun merentasi corak fleksi suatu perkataan, malah kadang-kadang terdapat tanda diakritik untuk orang yang belajar bahasa tersebut, baik penutur asli mahupun asing.

Dalam bahasa yang mempunyai tekanan berubah-ubah, tekanan boleh dijadikan ciri-ciri fonemik yang digunakan untuk membezakan kata-kata yang serupa sebutannya. Sebagai contoh, perkataan Bahasa Inggeris insight (/ˈɪnsaɪt/, "wawasan") dan incite (/ɪnˈsaɪt/, "menghasut") dibezakan dengan kedudukan tekanan, iaitu pada suku kata pertama bagi insight dan suku kata kedua bagi incite. Contoh dalam bahasa lain termasuk: dalam bahasa Jerman, umschreiben ([ˈʔʊmʃʁaɪbn] "menulis semula" vs [ʔʊmˈʃʁaɪbn̩] "memparafrasakan, mengolah semula ayat"); dan bahasa Itali, ancora ([ˈaŋkora] "sauh" vs [aŋkoːra] "lagi, masih").

Sesetengah bahasa yang mempunyai tekanan leksikal juga mengalami perubahan vokal dan/atau konsonan seiring dengan perubahan tekanan. Hal ini berlaku secara sistematik dalam bahasa Rusia, contohnya: за́мок ([ˈzamək], "istana kota") vs замо́к ([zɐˈmok], "mangga kunci"); dan dalam bahasa Portugis, seperti "kembar tiga" sábia ([ˈsabjɐ], "wanita bijak"), sabia ([sɐˈbiɐ], "telah tahu"), sabiá ([sɐˈbja], "burung murai").

Tahap-tahap tekanan

Sesetengah bahasa digambarkan mempunyai stres primer dan tekanan sekunder. Suku kata dengan tekanan sekunder diberi penekanan lebih daripada suku kata yang tidak ditekankan tetapi tidak sekuat suku kata bertekanan primer. Seperti tekanan primer, kedudukan tekanan sekunder mungkin lebih kurang boleh diduga bergantung pada bahasa. Dalam bahasa Inggeris, tekanan sekunder tidak boleh diduga sepenuhnya, tetapi tekanan sekunder yang berbeza dari kata-kata organization dan accumulation (pada suku kata pertama dan kedua) dapat diduga kerana tekanan yang sama dari kata kerja órganize dan accúmulate.